Izinkan Aku
2007 ; darjah 4
“Isya!” serunya. Dia termengah-mengah, kepenatan berlari.
“ Ha, kat sini pun awak. Awak, janganlah macam ni, jom balik kelas semula. Marilah,” Ilya Hannah menghampirinya. Pelajar perempuan tersebut hanya duduk memeluk lutut di atas lantai tandas. Air matanya mengalir perlahan. Seketika, dia tersedu-sedan.
“Pergilah, jangan pedulikan saya. Saya tak nak masuk kelas, tak nak!” tegas Isya Akma. Dia menekup wajahnya. Ilya dapat mengagak, dia masih lagi tidak berpuas hati dengan kejadian sebentar tadi. Aduh, Ilya menggaru kepala. Cikgu Tina yang telah mengarahkan dia mencari Isya, pelajar baru kelas 4 Cekap.
Aduh, air mata Isya. Ilya tersentuh, dia lemah pada air mata sesiapa sahaja. Dia menghampiri Isya. Dengan lembut, dia kesat mutiara jernih itu dengan sapu tangan ungunya. Kemudian, dia selukkan sapu tangan tersebut ke dalam saku sekolah Isya. Isya terjeda. Eh, masih ada sisa air mata. Ilya kesat pula dengan jarinya. Isya hanya terkaku, terharu dan terkedu akan kebaikan Ilya. Perlahan-lahan, lesung pipit kirinya terbentuk.
“Isya, jangan kalah pada masalah. Maafkanlah cikgu, cikgu marah awak pun untuk kebaikan awak, agar awak tidak mengulanginya lagi. Cikgu juga tidak tahu awak pelajar baru yang masih lagi tercari-cari hala tuju di sekolah ini. Lain kali, awak siapkan kerja rumah awak ya,”nasihat Ilya lembut. Dia kelihatan lebih matang daripada usia sebenarnya, membuatkan Isya bertambah kagum.
Tanpa sedar, dia menyambut huluran tangan Ilya. Mereka beriringan menuju ke kelas dengan hati yang berbunga. Bermulalah sebuah ikatan persahabatan yang tulus dan sejati.
2011 ; Tingkatan 2
“Isya, sorry! Sorry beb, aku lupa betullah nak bawa novel yang kau nak pinjam tu, huhu. Ampun kakak!” kedua-dua belah tapak tangan ditemukannya. Dia benar-benar rasa bersalah. Isya hanya mengecilkan matanya.
“ Hee, aku dah agak dah kau ni. Tulah, online Facebook sampai tak ingat dunia. Hem, takpelah, Sabtu nanti aku ingat nak lepak kat rumah kau, siapkan keja kursus Sejarah dengan kau, ayo...” Isya menggaru-garu kepalanya.
“Okay, okay. Aku tak ada hal pun, datang jelah, kau kan tak malu!” Ilya ketawa terkekeh-kekeh. Isya menggenggam buku limanya. Belum sempat mengena sasaran, Cikgu Amirah melangkah masuk ke dalam kelas mereka, 2 Cengal. Isya, ketua kelas tersebut menjalankan kewajibannya memberi salam.
Setelah itu, para pelajar diarahkan oleh Cikgu Amirah untuk menunjukkan buku latihan kerja semalam. Semua hanya akur kerana sudah terdidik akan cara cikgu tersebut mendisiplinkan mereka. Cikgu Amirah berjalan dari satu meja ke meja seterusnya, memeriksa buku latihan mereka.
“Weh, kau kenapa? Tertinggal kat rumah ke?” soal Ilya setelah melihat Isya mulai kelam-kabut.
“Tak tahulah wei, aku dah siapkan dah semalam masa dalam kelas. Patutnya ada dalam beg, tapi entah mana dia jalan ni, urgh,” Isya mengeluh kecil. Habis semua buku latihannya dikeluarkan dari dalam beg dan diperiksa satu persatu, namun hampa. Cikgu Amirah semakin menghampiri mejanya. Dalam tidak sedar, dia meraba-raba laci mejanya. Eh, ada sesuatu.
“Ilya, apa ni ?” Isya segera menayangkan surat bersampul warna ungu yang diperoleh. Pantas surat tersebut beralih tangan. Belum sempat Ilya membuka surat tersebut, Cikgu Amirah menghampiri meja mereka. Surat tersebut segera disorok di dalam laci meja.
“Ha, Ilya, Isya, mana buku latihan awak?” Ilya tergopoh-gapah menghulurkan buku latihannya manakala Isya berpura-pura mencari buku latihannya di dalam beg. Cikgu Amirah hanya memerhati tingkah laku Isya. Isya semakin panik, dia berpura-pura pula mencari di dalam laci meja.
Eh, ada? Kelihatan buku latihannya di situ membuatkan dia berasa sebal tetapi tetap bersyukur. Dengan senyuman, dia hulurkan buku latihan tersebut. Cikgu Amirah menyelak-nyelak helaian kertas bukunya sebelum berlalu. Tuhan, syukur. Kemudian, sesi pembelajaran berjalan seperti biasa namun surat ungu tersebut masih menghantui minda Isya dan Ilya.
…. …. ….
Lama mereka memerhati surat ungu tersebut. Sudah 5 minit berlalu dan mereka hanya terus memerhati dan berfikir. Surat apa ini? Apa isi kandungannya? Daripada siapa? Tujuannya apa? Kenapa tak dibagi terus? Argh! Mood untuk menyertai rakan-rakan lain di kantin juga terbantut. Isya memicit-micit kepalanya dan berbaring pada karpet surau. Ilya menggaru-garu dagunya.
“ Surat cinta, tak syak lagi,” tutur Ilya. Isya hanya diam, dia sudah menduga jawapan tersebut.
“ Tapi daripada siapa? “ balas Isya. Ilya ketawa geli hati.
“ Kalau nak tahu, kena bukalah!” Gulp! Isya menelan air liur mendengar usul Ilya.
“Takutlah! Entah-entah ada letak cicak ke, apa ke, bukan boleh percaya, huh!” jawab Isya. Ilya tergeleng-geleng kepalanya. Kawannya ini memang suka fikir negatif. Dia mencapai surat tersebut. Dengan cermat, dia membuka surat bersampul warna ungu tersebut; warna kegemaran Isya.
Isya mula merapatkan dirinya pada Ilya. Mereka membaca bait-bait ayat surat tersebut dengan saksama. Aduh, asyik sungguh baris-baris ayat puisi surat tersebut. Wajah Isya memerah manakala wajah Ilya kosong. Jauh dalam hati Ilya, ada sesuatu mengganggu namun dia cuba tepis.
“Hmm, nama pengirimnya F.A. Siapa tu?” Ilya mula berfikir-fikir manakala Isya hanya mengangkat bahu. Hati Isya mula mengesyaki seseorang, namun dia menafikan seboleh-bolehnya.’ Tak mungkinlah!’
Ilya yang terkenal bijak menganalisis, mula mengkaji surat tersebut dengan lebih mendalam. Dia mengkaji dari segala sudut; tulisan, ayat tersirat, warna kertas, gaya bahasa dan sebagainya.
“Ehem,ehem, berdasarkan pemerhatian aku, pengirim surat ini seseorang yang kau kenal, kemas, selalu tulis guna pen hitam G.Soft, bijak dan gemar akan sastera. Tak susah nak cari orang dengan ciri-ciri ni rasanya,” Ilya mengenyitkan matanya pada Isya, membuatkan Isya bertambah malu. Tangannya laju mencubit Ilya. Ilya mengaduh kesakitan.
“Dan, aku rasa, orang tersebut ialah, Farris Aidiel,” tambah Ilya. Hatinya berdesir.
Tidak! Tidak! Tidak!
…. …. ….
“Weh,” Ilya menyiku Isya. Isya buat-buat tidak tahu.
“Weh, tak payahlah, aku tahu kau pura-pura. Tu, tengok, dia tengah pandang kau.”
“Eh, apa, apa? Tak dengarlah, maaf!” Isya hanya teruskan menyalin nota daripada papan putih. Malu!
Ilya mengeluh. Hie, keras hati betul budak Isya ni. Dia menongkat dagu. Bosan. Dia sudah selesai menyalin nota. Latihan tidak pula dberi. Tidak tahu hendak buat apa, dia mula mengelamun.
Tuhan, tabahkan hatiku! Aduh, rasa ini, pergilah kau, jangan ganggu aku! Aku tak mahu rosakkan persahabatan aku, tapi…aku cemburu! Aduh, mengapa kita meyukai orang yang sama, Isya? Aku terseksa dengan rasa cemburu dalam diam ini, wei . Susah sangat nak kawal. Alangkah bagusnya jika perkara ini tidak berlaku, urh.
“Ilya, kau nak tahu sesuatu?” tersentak Ilya daripada lamunan. Dia cuba memaniskan muka yang mula mengeruh dek kerana cemburu. Isya sahabat aku, ya, dan aku sayang dia. Dia mengangguk.
“ Ambil ni, kau bacalah di rumah nanti, dan berikan pendapat kau. Maaf, baru sekarang aku nak bagi,” diari Isya yang bermotifkan bunga lavendar bertukar tangan. Dahi Ilya berkerut. Dia membelek-belek diari tersebut. Tanpa banyak soal, dia menyimpan diari tersebut ke dalam beg.
… … …........................................
Ilya mundar-mandir di dalam biliknya. Dia ragu-ragu hendak membaca diari Isya. Kalau tak baca, macam mana nak bagi pendapat. Kalau baca, takut hati dia terluka sedikit sebanyak. Hmm, baca jelah.
20.02.2011
Hmm, aku sedar sesuatu hari ni. Aku perasan, mata Farris selalu macam memerhati aku. Dan aku tak tahu kenapa setiap kali itulah hati aku bergelora. Memang tak berani betul aku nak bertentangan mata dengan dia, segan. Dia sangat sempurna pada mata aku. Tampan, berbudi pekerti, bijak dan mudah mesra. Aku tahu, ramai yang minat akan dia. Seboleh mungkin, aku cuba hindarkan diri aku daripada meminati dia tapi…
Aku rasa aku memang dah jatuh suka pada dia.
Ilya menelan air liur. Dia tabahkan diri menyelak helaian seterusnya.
25.02.2011
Aduh, Tuhan, pedihnya. Bertahan Isya, bertahan. Tadi, Aina datang dekat Farris, minta tolong dengan kerja rumah, dan diaorang nampak mesra sangat. Diaorang ketawa sama-sama, dan aku cuma perhati sahaja. Takkan aku nak serang si Aina tu kot, nampak sangat cemburu.
Nampaknya, aku memang betul-betul sukakan dia.
Hati Ilya remuk.
Nampaknya, aku memang betul-betul sukakan dia.
Hati Ilya remuk.
.............
"Ilya!"
Isya berlari-lari anak ke arah Ilya. Senyuman manis terukir di bibirnya; tidak seperti biasa, namun kali ini luar biasa manisnya. Dia begitu teruja untuk mendengar pandangan Ilya tentang apa yang telah begitu lama bermain dalam hatinya. Ya, sudah cukup lama dia memendam perasaan itu kemas-kemas dalam hati. Dia perlukan pandangan jujur Ilya tentang soal hatinya. Sangat-sangat perlu.
Ilya masih lagi tekun menghadap novel dalam tangannya tanpa sedikit pun mengalihkan wajah. Isya sedikit tersinggung namun segera mengusir perasaan tersebut sejauh-jauhnya. Dia melabuhkan punggung dan bersila di hadapan Ilya sebelum menyentuh lengan Ilya.
Lambat-lambat, Ilya mengangkat muka. Segaris senyuman yang seolah-olah dipaksa terukir pada wajahnya. Dia mula menutup novel tersebut dan memandang tepat ke mata Isya.
"Apa pandangan kau, weh? Kau dah bacakan diari aku. Ya Allah malu pulak aku rasa, hehe"
Sepi mengisi suasana. Senyuman Ilya mula mati. Selang beberapa saat, Ilya mula membuka mulut.
"Ya, nampaknya Farris tak bertepuk sebelah tangan. Untunglah dia. Teruskan jelah apa yang patut. Asalkan kau bahagia," senyuman nipis perlahan-lahan mula terukir di bibir Ilya.
Mendangar jawapan Ilya, Isya berteriak kecil. Dia sungguh malu bercampur teruja. Beban menanggung perasaan tersebut terasa seakan-akan terbang. Dia memeluk Ilya dengan sangat riang.
"Terima kasih Ilya! Sayang kau sangat!"
Hati Ilya berkecai dalam dakapan hangat sahabatnya itu. Belum sempat matanya bergenang, mikrofon mula berbunyi, menandakan perhimpunan sekolah akan bermula.
.......................................................................
Ya Allah, kenapa?!
Ilya tersentak daripada lamunan apabila ada pukulan singgah di bahunya.
"Ilya, kau okay tak?"
"A'ah Ilya, kau kenapa ni? Tak sihat ke?"
Ilya memandang wajah Isya sebelum beralih ke wajah Farris. Farris...
"Eh, aku okay. Haha. Haha. Adui sorry beb. Kat mana weh tadi?" Ilya mula kelam-kabut mencari pennya. Dia yang sukarela menawarkan diri mencatat isi perbincangan, ni dia pula yang berkhayal. Dia menyumpah seranah dirinya sendiri dalam asyik mencari pen yang hilang.
Dumm!
Seisi kelas menoleh ke arah kumpulan mereka. Wajah Ilya memerah. Ah sudah! Bekas pensel ni pun takde masa lain ke nak jatuh?
Belum sempat tangan Ilya mengambil semula bekas pensel tersebut, Farris segera bangun dan mengutipnya. Ahli kelas menyambung semula perbincangan dengan kumpulan masing-masing.
"Nah, tulah jangan berangan sangat," Farris menghulurkan bekas pensel tersebut kepada Ilya. Mata mereka bertemu. Senyuman Farris menghiasi wajahnya yang tampan. Mata kau... Senyuman kau... Tawa kau...
Tapi hati kau bukan untuk aku!
Hati Ilya menangis.
Cepat-cepat, Ilya mengalihkan wajahnya dan ketawa kecil.
"Sorry lah geng, pasni aku tak berangan lagi dah," Ilya mengangkat-angkat keningnya.
"Okay, balik kepada isi untuk karangan kita ni. Tajuk dia mudah, 'Cantik'. Sekarang ni, macam mana kita nak definisikan cantik ni?" soal Farris. Ilya, Isya dan Azman mengerutkan dahi.
"Susahlah beb nak definisikan cantik ni. Macam-macam boleh," balas Azman.
"A'ah, betul tu. Cantik kan subjektif,"Isya pula bersuara.
"Alah, mudah je bagi aku," jawab Farris,
"Bagi kau, cantik ni macam mana?" soal Isya kembali.
"Macam kau".
Tergamam. Ilya dan Isya, kedua-duanya tergamam. Azman hanya ketawa.
Tiba-tiba, Ilya bangun dan menghampiri Cikgu Amirah.
"Cikgu, saya nak ke tandas".
Belum sempat Cikgu Amirah memberikan jawapan, Ilya sudah berlari keluar dari kelas dan terus diekori anak mata Isya, Farris dan Azman. Mereka terpinga-pinga.
...................................................
Ilya terlantar di atas katil. Usai sahaja solat zuhur setelah pulang dari sekolah, Ilya berendam air mata di atas katil. Air mata yang kering pada pipinya membuatkan dia berasa tidak selesa. Dia mengesat pipinya berulang kali walaupun air matanya sudah kering.
Dia memusingkan badan ke kanan. Fikirannya masih ligat tentang kejadian semalam ditambah pulak dengan adegan hari ini. Payah jugak untuk dia meyakinkan Isya, Farris dan Azman atas sebab kenapa dia berlari ke tandas. Sakit perut, kononnya.
Dan hari ini, hatinya terhiris lebih dalam.
"Isya"
"Ya, Farris. Kenapa?"
"Pasal hal semalam..."
"Hal yang mana eh?"
"Definisi cantik tu"
"Ouh. Okay"
"Nak Isya faham yang...
Farris tak main-main masa tu"
Ilya mengeluh. Walaupun ketika itu dia berusaha sedaya upaya berpura-pura hanyut dengan novel dalam tangannya, hakikatnya hatinya berkecai dua. Hampir-hampir novelnya terlepas dari tangan. Kau bayangkan mamat yang kau suka kata kawan baik sehidup semati sebelah meja kau, cantik.
Kau bayangkan.
Nasib dia taklari ke tandas lagi je masa tu. Kalau tak apa lagi alasan nak diberi.
Tanpa dipinta, air mata gugur lagi. Berlari-lari anak di atas pipinya sebelum jatuh pada cadar katil. Sakit. Pedih. Banyak sangat air mata yang gugur beberapa hari ini. Haih, apa boleh buat.
"Ilya..,"
Ilya tersentak. Apa Isya buat kat sini?!
"Ilya, kau mungkin boleh tipu orang lain, tapi bukan aku. Aku tau kau sakit, aku tau kau tak bahagia. Aku tau kau terseksa" Isya merebahkan badannya di sebelah Ilya.
"Macam mana kau masuk rumah aku?"
"Macam biasa, kau mana pernah ingat nak kunci pintu. Dahlah mak ayah kau takbalik kerja lagi, kau ni memanglah Ilya. Bab keselamatan diri kau, kau memang cuai"Isya merungut.
Sepi. Suasana sepi seketika. Hanya bunyi kipas yang memecah kesunyian.
"Aku tau kau pun suka Farris", Isya mula bersuara.
"Mana ada"
"Tipu".
"Betullah, mana ada"
"Sampai bila kau nak tipu diri kau? Sampai bila kau nak berkorban demi aku?!" suara Isya mula meninggi. Ilya terkedu.
"Kau kata kau nak kita berkawan sampai akhirat. Tapi sakit dalam hati kau tanggung sorang. Apa ni?! Kau ingat aku akan bahagia ke kalau kau tak bahagia?" Isya mula membentak.
"Aku takpernah kenal erti persahabatan sebelum ni, sampailah aku jumpa dengan kau. Dan takkanlah masa aku mula nak kenal erti cinta, aku kena kehilangan kau?"soal Isya.
"Kau tau tak aku sayang sangat kat kau. Aku taknak kehilangan kau. Kau tau tak, Ilya? Aku sayang kau! Sangat sayangkan kau!" Isya menarik Ilya ke dalam dakapannya. Erat. Dua sahabat itu menangis teresak-esak dalam pelukan masing-masing.
"Izinkan aku...",
"Izinkan apa?" soal Ilya lambat-lambat.
"Izinkan aku hapuskan air mata kau..."
Isya mengeluarkan sesuatu dalam sakunya. Dengan lembut, dia mengesat air mata Ilya menggunakan sapu tangan berwarna ungu itu.
"Kau ingat lagi tak? Masa kita darjah empat, dan aku budak baru, kau yang datang cari aku kat tandas dan lap air mata aku guna sapu tangan ini. Dah 5 tahun weh, tapi aku tetap jaga sapu tangan ni macam aku jaga diri aku sendiri. Kau tau sebab apa?"
Mata Ilya menagih jawapan.
"Sebab aku sayang kau lah gila!"
Gelak tawa mereka memecah suasana yang pilu sebentar tadi.
..................................................................
"Apa pulak ni?"
Farris membelek-belek dua sampul surat di dalam begnya. Kedua-duanya berwarna ungu.
"Ish, Isya balas surat aku ke ni?"
Jarinya pantas membuka sampul surat yang pertama.
Assalamu'alaikum F.A (:
Isya cuma nak cakap, surat Farris masa tu betul-betul buat Isya terkejut. Baiklah Isya jujur dengan diri Isya dan diri Farris, tipulah kalau Isya cakap Isya tak suka Farris ( Ya Allah malunya!) tapi Isya nak Farris tahu, Ilya terlebih dulu datang dalam hidup Isya. Ilya bahkan dah banyak buktikan sayang dia pada Isya, dia yang selalu ada di samping Isya bila Isya sedih. Okay mesti Farris tertanya-tanya apa kaitan Ilya dalam situasi kita ni ( cewah). Takpe, pasni Farris baca jelah daripada surat yang lagi satu. Cuma Isya nak Farris tahu, ya, memang Isya sukakan Farris, tapi biarlah sekadar itu, Isya taknak perasaan ini rosakkan persahabatan kita dan persahabatan Isya dengan Ilya. Lagipun, terus terang, kita muda sangat ni, baru 14 tahun, apa je yang kita faham pasal perasaan ini? Biarlah jodoh yang tentukan segalanya, kan. Tahun depan pulak ada peperiksaan penting. Kita biarkan jelah dulu perasaan itu. Perasaan ini sebenarnya, kalau diungkapkan, dia akan makin berkurang. Jadi, biarlah ia terus di situ; di dalam hati, tidak perlu kita melangkah ke fasa yang 'lebih' sedangkan kita ni masih setahun jagung. Er, fahamkan apa Isya nak sampaikan ni?
Biarlah jodoh membawa kita ke tempat yang sebenarnya. Mungkin apa yang kita rasa ini bukan perkara yang benar (:
Yang ikhlas,
Isya Akma Abdul Rahim
Keluhan nafas yang berat dikeluarkan oleh Farris. Sakitlah jugak, tipulah kalau taksakit. Tapi memang ada benarnya kata-kata Isya. Dia sendiri mengakuinya.
Dia membuka surat yang kedua dan mula membaca.
Assalamu'alaikum Farris.
Sebenarnya Isya yang paksa Ilya tulis ni, sebab dia kata dia akan luah perasaan dia kat Farris KALAU Ilya pun buat benda yang sama. Gila lah dia tu kadang-kadang --' . Haih. Farris. Sebenarnya dah lama Ilya pendam perasaan kat Farris. Tapi siapa Ilya nak luahkan perasaan kepada Farris. Ilya ni biasa-biasa je. Tak cantik macam Isya erm (: . Ilya terpaksa jugak luahkan perasaan ini, sebab Isya kata kalau Ilya luah baru dia akan luah jugak. Ilya sayangkan Isya tu. Ilya nak dia bahagia. Ilya taknak dia asyik pendam perasaan dia. Jujurnya Ilya sakitlah jugak bila tahu yang rupa-rupanya kitaorang dua-dua suka pada orang yang sama ( dah macam dalam drama hahaha ) tapi yelah, perasaan ni fitrah, kan. Tapi suatu perkara yang jelas, pemisah antara perasaan fitrah dan fitnah ni nipis sangat. Bila-bila je dia boleh jatuh jadi fitnah. Jadi Ilya bercadang, biarlah Ilya nak simpan perasaan ini dalam-dalam hati Ilya. Dan Ilya nak Isya bahagia, Ilya sayangkan dia sangat, lebih dari sayangkan Farris ( okay ayat macam bahaya je haha ) . Kalau betul sayangkan Isya jugak, tolong buat keputusan yang terbaik. Bila kita sayangkan seseorang, mestilah kita nakkan yang terbaik utnuk dia, ye tak ? (:
Mungkin kita patut berusaha letakkan cinta pada Ilahi dulu ? (:
Semoga sentiasa gembira,
Ilya Hannah bt. Fakhrul Azmi
Terkedu. Farris terkedu begitu lama.
Kemudian, dia menampar lembut pipinya sendiri. Berkali-kali.
"Ya Allah. Dulu aku ingat Ilya suka Azman, sebab tu aku buang perasaan pada dia jauh-jauh!
Sedangkan dialah yang pertama singgah di hati aku..."
Perlahan-lahan, senyumannya terukir.
"Dua-dua cantik".
*******************************
TAMAT, terima kasih baca hingga ke titik akhir (:
Ain Najwa Othman
http://www.ainnajwaothman.blogspot.com
http://www.ainnajwaothman.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Seronok baca ?
Tinggal-tinggalkanlahh komen !
Dapat pahala , hehe :3